Salam Semua...
Ari ni jom kite ushar sejarah nasi kandar. Macam mane nasi kandar mula bertapak di Malaysia especially kat Penang. Malas nak mengarut jom baca la sambil tambah ilmu bleh jugak ushar tempat baru nk makan kan..
TIDAK lengkap rasanya jika berkunjung ke Pulau Pinang andainya tidak menikmati hidangan nasi kandar. Malah sebut sahaja nasi kandar, nama negeri Pulau Pinang pasti menjelma dalam ingatan kebanyakan kita.Imej nasi kandar Pulau Pinang samalah seperti populariti nasi dagang di wilayah Pantai Timur. Bahkan kini fenomena nasi kandar yang sinonim dengan Pulau Pinang telah tersebar ke seluruh Malaysia.
Mengimbas kembali sejarah nasi kandar, ia dipercayai bermula dari selatan India apabila para pedagang India Muslim sering berulang alik di antara wilayah Asia Selatan itu dan Tanah Melayu sebelum merdeka lagi.
“Asalnya ia makanan komuniti India Muslim atau lebih dikenali sebagai mamak yang bekerja di pelabuhan Pulau Pinang,” jelas Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (Presma), Jamarulkhan Kadir.
Beliau yang memiliki sejumlah 17 buah premis makanan itu di bawah nama Restoran Syed menambah, nasi kandar waktu itu dikongsi bersama termasuk lauk pelbagai jenis kari dicelur sedikit ke dalam nasi panas.
Cara celur itu pun ada gaya tersendiri bagi menjadikan hidangan lebih lazat. Ia kemudian dijual kepada masyarakat tempatan hasil promosi dari mulut ke mulut mengenai keunikan nasi kandar tersebut.
“Ia dipercayai mula bertapak di Pulau Pinang antara tahun 1920 hingga 1930, namun tiada tarikh rasmi dicatatkan. Pengaruhnya pula tertumpu di bandar-bandar di utara Semenanjung sahaja,” kata Jamarulkhan.
Nasi kandar pada zaman awal cuma dihidangkan pada waktu pagi dan gelaran kandar kekal hingga kini sempena gaya penjual dekad 1930-an mengandar bakul atau raga yang mengandungi nasi dan lauk dengan sebatang kayu tebal.Dengan kaedah itu, mereka merentasi pekan dan kampung menjaja makanan tersebut. Peringkat awal, nasi dihidangkan bersama lauk daging masak kicap, telur rebus dan bendi rebus sebagai sarapan pagi.
“Namun selaras dengan perubahan masa, menu tradisi itu menjalani transformasi apabila ramai pengusaha nasi kandar moden mempelbagaikan lauk-pauk bagi menarik ramai pelanggan,” terang Jamarulkhan lagi.
Apabila melangkah ke restoran nasi kandar, pelbagai lauk-pauk menanti daripada kari kepala ikan, ayam goreng, ayam masak madu, ikan goreng, daging masak kicap, sotong goreng, udang goreng hinggalah kari udang.
Itu belum lagi pelbagai sayuran selain ada juga yang menjual telur sotong, telur goreng dan telur rebus. Di Pulau Pinang, Hutton Lane, Transfer Road dan Clarke Street antara kawasan pilihan penggemar nasi kandar.
Kedai Nasi Kandar Packir di Hutton Lane dikatakan selalu menjadi tempat tumpuan orang kenamaan untuk menjamu selera termasuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Allahyarham Tan Sri Khir Johari.
“Hari ini banyak restoran nasi kandar berimej komersial dengan dilengkapi kerusi selesa, dipasang televisyen berskrin besar, berhawa dingin dan menampilkan suasana kafe,” tambah Jamarulkhan.
Malah restoran nasi kandar moden di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain kini dibuka 24 jam sehari bagi menampung permintaan tinggi pelanggan yang ingin menikmati keenakan nasi kandar tanpa mengira masa.Ketika kebanyakan kedai nasi kandar telah ditransformasikan, hanya Nasi Kandar Line Clear di Penang Road kekal dengan tradisi nasi kandar asli yang kita kenali berpuluh-puluh tahun lalu.
Ia bukanlah nama asing bagi masyarakat Pulau Pinang malah jika sebut sahaja Line Clear, penggemar nasi kandar daripada rakyat biasa hingga pelancong seluruh dunia mengenalinya yang wujud sejak 45 tahun lalu.
“Tidak kira di mana, nasi kandar kini menjadi imej makanan rakyat Malaysia seperti restoran makanan segera Barat,” kata Jamarulkhan yang juga mewakili lebih 2,500 ahli Presma di seluruh Malaysia.
Sumber: Kosmo Online
P/S: Craving for Kari and ayam goreng rempah.
Tag :
jalan-jalan cari makan
0 Comment for "Nasi Kandar Penang"
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen. Komen kalian akan ditapis agar tidak wujud sebarang kekeliruan terhadap entri yang telah disiarkan
Terima kasih tinggal komen kat sini. :)