Salam Semua..
Jom kenali kisah dan pengalaman Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Shaikh Ismail dalam santai personaliti pada kali ini. Ikuti kisah beliau sepanjang menjadi Imam Besar yang di petik daripada artikel yang bertajuk "Anggap Makmum sebagai Semut" dari Kosmo Online.
SUKA tersenyum dan sesekali menjawab panggilan telefon, ternyata Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Shaikh Ismail seorang yang berperwatakan sederhana.Walaupun bergelar Tan Sri, beliau sekadar menggunakan telefon bimbit model lama, Nokia 3310, yang tidak dilengkapi sistem pesanan bergambar (MMS) apatah lagi aplikasi Internet.
"Telefon adalah sekadar alat untuk berbual-bual.
"Malah, ada orang yang menegur saya kerana makan capati di kedai mamak. Jawapannya mudah sahaja, perut sekadar perlu diisi tidak kisahlah di mana pun kita makan," katanya kepada Jurnal.
Sambil memegang erat sebuah buku doa bersaiz kecil, Shaikh Ismail bersyukur kerana sepanjang menjadi Imam Besar Masjid Negara sejak Februari 2007 sehingga sekarang, tidak banyak masalah yang beliau hadapi.Menurut Shaikh Ismail, Masjid Negara merupakan tempat beliau menuntut ilmu sebaik sahaja tamat persekolahan pada tahun 1960-an
"Di sinilah tempat saya menuntut ilmu untuk menjadi seorang hafiz al-Quran lebih empat dekad lalu dan kini menjadi tempat untuk saya mencari rezeki.
Semut
"Malah kolam air di masjid ini juga menjadi tempat saya mandi semasa menuntut di Darul Quran" katanya yang sedang dalam proses menulis buku biografi mengenai dirinya bertajuk Dari Masjid Ke Masjid.
Beliau merupakan kumpulan pertama pelajar di negara ini yang menghafal al-Quran secara bersistem di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Masjid Negara.Pengalaman mandi di kolam Masjid Negara tidak dapat dilupakan oleh Shaikh Ismail.Ujarnya, sewaktu sambutan Bulan Kemerdekaan atau hari-hari kebesaran Islam, biasanya petugas masjid akan membersihkan kolam dan mengisinya dengan air baharu. Justeru, apabila tiba waktu malam, beliau bersama beberapa rakan akan terjun dan berenang dengan seronoknya di dalam kolam tersebut.
"Maklumlah air sudah ditukar baru," katanya ketawa.
Tugas sebagai Imam Besar memerlukan Shaikh Ismail bertemu malah menjadi imam solat kepada makmum yang juga pemimpin negara.
Apa rahsia yang beliau simpan selama ini?
"Tiada rahsia cuma saya ingat pesanan guru-guru sebelum ini yang menyuruh kita supaya menganggap setiap makmum itu seperti semut.
"Jadi saya lebih besar daripada semut sendiri. Ia sebenarnya cuma perumpamaan bagi menenangkan perasaan kerana kita perlu mengimamkan orang besar-besar. Kalau kita cemas, bagaimana kita hendak melakukan tugas dengan baik," katanya.
Ujarnya lagi, petua yang beliau pegang ialah jangan sekali-kali takut untuk berada di barisan hadapan apabila melakukan sesuatu perkara.
"Sampai bila kita harus berada di belakang? Kita perlu yakin dengan diri kita sendiri," kata Shaikh Ismail.
Namun, ada juga momen cemas yang dialami Shaikh Ismail semasa menjadi Imam Besar Masjid Putra di Putrajaya kira-kira tujuh tahun lalu.Beliau memberitahu, kejadian itu berlaku sebelum solat Jumaat. Terdapat seorang lelaki berpakaian kemas dan memakai kaca mata masuk ke barisan hadapan ruang solat utama untuk menunaikan solat Jumaat.
"Tiba-tiba lelaki itu meniup telinga kiri setiap makmum di barisan hadapan itu menyebabkan saya terkejut. Kira-kira selang dua makmum lagi ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
"Nasib baik saya segera meminta pegawai masjid menarik tangan lelaki itu untuk keluar. Jika dia dapat meniup telinga Tun Mahathir, mungkin lain pula jadinya," katanya ketawa lagi.
Namun, Shaikh Ismail berpendapat lelaki itu mungkin tidak waras. Mengambil pengajaran selepas peristiwa itu, beliau akan memastikan setiap pengawal masjid memerhatikan jemaah yang berkelakuan pelik supaya perkara sebegitu tidak berulang.
"Pengalaman belajar di Maahad Al-Qiraat Al-Azhar di Shoubra, Mesir selama lima tahun bermula dari tahun 1969 hingga 1973 pasti memberikan seribu satu pengalaman berguna buat beliau.Shaikh Ismail memberitahu, sifat orang Arab ialah mereka cepat marah tetapi cepat pula sejuk.
"Malah, jika mereka bergaduh sekali pun dan salah seorang daripada mereka cedera, pihak yang seorang lagi akan menghantarnya ke hospital walaupun sebelum itu mereka teruk bergaduh.
"Begitu juga kalau mereka bergaduh tetapi salah seorang mengucapkan selawat ke atas Nabi, mereka akan berhenti kerana menghormati Rasullah S.A.W," katanya.
Gadis Mesir
Menurut Shaikh Ismail, bangsa Arab menghormati tetamu dengan cara berbeza seperti mencuit telinga, memegang janggut dan mencium dahi.
"Saya belajar perkara itu semasa Perang Arab-Israel 1967 dahulu. Pada masa itu, bunyi kapal terbang Israel dan serangan balas oleh tentera Mesir menyebabkan saya hanya duduk di rumah.
"Saya juga mewarnakan tingkap rumah sewa saya dengan nila untuk membuatkan ia seakan-akan tiada penghuni dan terselamat daripada menjadi sasaran pesawat tentera Israel," katanya.
Walaupun agak lama tinggal di Mesir, Shaikh Ismail tidak pernah terfikir untuk mengahwini wanita negara itu.
"Gadis Mesir memang cantik dan ramping semasa berusia belasan tahun tetapi selepas berkahwin badan mereka cepat berisi.
"Tapi kalau saya berkahwin dengan gadis Mesir mungkin saya tidak kurus seperti sekarang kerana orang Arab biasanya berselera apabila makan," cerita Shaikh Ismail dalam nada lucu.
Menjadi tenaga pengajar dan juga Timbalan Pengerusi Institut Tahfiz Sultan Haji Hassanul Bolkiah di Brunei juga merupakan satu cabaran bagi anak kelahiran Dungun, Terengganu ini.
"Di situ, ada seorang pelajar yang boleh menghafal 30 juzuk al-Quran dalam masa tujuh bulan. Ini membuka mata warga Brunei untuk menghantar anak mereka ke institut tahfiz berkenaan," ujarnya.
Shaikh Ismail juga pernah menjadi tenaga pengajar di Persekutuan Seruan Islam Singapura, tempat beliau bertemu dengan seorang mualaf remaja perempuan.
"Remaja Cina berusia 18 tahun itu masuk Islam selepas mengikuti kelas agama yang dianjurkan oleh badan dakwah itu.
"Keesokan harinya, ibunya datang ke pejabat kami dan marah-marah kerana mengatakan anaknya 'masuk Melayu'," katanya.
Jelas Shaikh Ismail, beliau berpesan kepada remaja itu agar terus berbuat baik dan membantu ibunya.
"Beberapa minggu selepas itu, ibu remaja itu datang semula ke pejabat dan berterima kasih kerana anaknya lebih banyak menjaganya berbanding anaknya yang lain.
"Malah, ibu kepada remaja itu juga masuk Islam tidak lama selepas itu," cerita beliau.
Tidak lengkap berbicara dengan Shaikh Ismail sekiranya tidak bercerita mengenai sambutan Hari Raya Korban di Masjid Negara.
"Tahun ini terdapat 40 ekor lembu korban di Masjid Negara. Realitinya keikhlasan melakukan korban itu yang menjadi inti pati kepada persaudaraan Islam," katanya.
Sumber: Kosmo Online
P/S: Yang penting harus yakin pada diri sendiri!!! :)
0 Comment for "Pengalaman Tan Sri Shaikh Ismail,"
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen. Komen kalian akan ditapis agar tidak wujud sebarang kekeliruan terhadap entri yang telah disiarkan
Terima kasih tinggal komen kat sini. :)