Salam Semua...
Hari ini dalam santai info negara akan membawa korang semua terbang ke negeri Sarawak untuk menimba kisah dua orang puteri yang dikatakan penjaga gunung negeri Sarawak. Sapa lagi kalau bukan Puteri Santubong dan Sejinjang. Jom belajar sejarah negeri Sarawak..
KISAH Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang sangat dekat di hati rakyat Sarawak terutamanya bagi penduduk yang tinggal di Kuching. Kedua-dua puteri jelita itu dikatakan berasal dari kayangan. Mereka diturunkan ke bumi untuk menghentikan pergaduhan di antara dua buah kampung.Sebelum turun ke bumi, kedua-dua puteri itu diberi amaran supaya jangan bergaduh sesama sendiri jika tidak mahu terkena sumpahan dan menyebabkan mereka tinggal di bumi selama-lamanya.
Ceritanya bermula dengan penduduk bumi kehairanan melihat cahaya terang laksana mentari menyusuri dua buah kampung berkenaan.Puteri Santubong dikehendaki tinggal di Kampung Pantai Biru dan mengajar penduduk menenun kain.Puteri Sejinjang pula pergi ke Kampung Pasir Kuning untuk mengajar mengasingkan sekam padi menggunakan sejenis alat yang dinamakan aluk.
Kilat
Kehadiran kedua-dua puteri itu akhirnya menamatkan pertelingkahan di antara kedua-dua kampung. Malangnya, Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang kemudian bergaduh kerana berebutkan seorang putera kacak iaitu Putera Serapi yang datang dari negara berdekatan.Putera Serapi sengaja mengunjungi kampung berkenaan untuk melihat kejelitaan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.
Bagaimanapun, kehadiran putera itu menyebabkan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang bergaduh kerana kedua-duanya jatuh hati pada lelaki yang sama.Pergaduhan antara dua puteri itu sememangnya dahsyat. Masing-masing menggunakan kuasa sakti yang buruk kesannya. Semasa bergaduh, Puteri Sejinjang telah mencapai aluk lalu menghayunnya ke pipi Puteri Santubong. Kononnya, disebabkan peristiwa itu sehingga kini terdapat lekuk di puncak Gunung Santubong.
Selepas itu, Puteri Santubong menikam belida di kepala Puteri Sejinjang. Akhirnya, kedua-dua puteri itu tersungkur kesakitan.Secara tiba-tiba, kilat sabung-menyabung diiringi dentuman guruh. Kemudian, satu cahaya terang dari langit mengangkat tubuh kedua-dua puteri itu. Puteri Santubong disumpah menjadi gunung manakala Puteri Sejinjang menjadi pulau. Putera Serapi yang kesedihan terus menghilangkan diri di sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gunung Serapi.
Nama Puteri Santubong itu kini kini dikaitkan dengan beberapa tempat di Sarawak. Ini termasuk Gunung Santubong yang terletak 35 kilometer dari bandar raya Kuching, selain sebuah kampung bernama Kampung Santubong.
Kedua-dua tempat itu terkenal dengan aktiviti pelancongan khususnya mendaki gunung.Sementara pulau yang dikatakan Puteri Sejinjang yang disumpah itu ialah Pulau Kera, terletak berdekatan dengan Gunung Santubong. Ia dihuni pelbagai spesies kera.Bekas Timbalan Pengarah Radio RTM Sarawak, Madzhi Johari pula mempunyai hubungan sentimental dengan kisah Puteri Santubong sehinggakan beliau mencipta lagu bertajuk Puteri Santubong.
Lagu itu kerap dimainkan semasa sambutan Hari Keamaatan dan Hari Gawai di Sarawak.Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Ipoh Datan, berkata, cerita Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang hanyalah mitos.
Artifak
"Tiada penemuan bahan-bahan arkeologi bagi mengesahkan perkara itu. Jika nama Santubong itu kekal sehingga kini, ia mungkin terjadi secara kebetulan.
"Selain itu, tidak terdapat bahan bertulis mengenai kisah itu menyebabkan saya kurang mempercayainya," katanya kepada Jurnal.
Katanya lagi, nama Santubong itu boleh jadi diambil daripada pedagang-pedagang. Ini kerana Santubong suatu masa dahulu merupakan sebuah pelabuhan entrepot terpenting di Asia Tenggara.
"Ini dibuktikan dengan penemuan bahan artifak seperti pasu zaman Dinasti Han dari China di Santubong.
"Bukti hubungan awal di antara China dan Borneo diperkukuhkan lagi dengan jumpaan duit syiling China bertarikh 600 Sebelum Masihi, serta tahun 112 dan 588 Masihi.
"Banyak serpihan tembikar China dijumpai di Muara Sungai Sarawak. Nama Santubong sendiri dikatakan ungkapan dialek Kheh dalam bahasa Cina yang bermaksud raja bukit," katanya.
Bagi pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, beliau menganggap penduduk pada zaman dahulu menghargai gunung yang banyak membantu mereka menjalani kehidupan seperti memberikan sumber air dan hasil hutan.
"Mereka menghargai gunung itu dengan mereka kisah mistik supaya ia terus diperkatakan untuk satu tempoh yang lama.
"Kepercayaan agama juga tidak kukuh pada zaman dahulu menyebabkan ramai mempercayai unsur mitos dan mistik," katanya.
Sumber: Kosmo Online
P/S: Macam-macam kisah dari kayangan kan?
0 Comment for "Pertarungan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang"
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen. Komen kalian akan ditapis agar tidak wujud sebarang kekeliruan terhadap entri yang telah disiarkan
Terima kasih tinggal komen kat sini. :)