Assalamualaikum
PADA bulan mubarak ini elok sangatlah kita bersama-sama bermuhasabah tentang amal ibadah kita. Antaranya ialah solat tarawih yang hanya setahun sekali dapat kita laksanakan.
Tarawih bermaksud berehat-rehat atau bersenang-senang. Oleh itu, solat tarawih dianjurkan untuk dilakukan secara berjemaah dan diselang-selikan dengan doa dan selawat seperti yang biasa dilakukan dalam masyarakat kita agar para jemaah dapat menikmati ibadah dalam penuh kekhusyukan dan ketenangan.
Solat tarawih dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW pada malam-malam bulan Ramadan. Kali pertama, baginda keluar ke Masjid Nabawi untuk bersolat tarawih dan diikuti oleh sebilangan sahabat.Begitu juga pada malam kedua dan pada malam ketiga. Bilangan sahabat semakin ramai dan menanti untuk mendirikan solat tarawih bersama Baginda. Akan tetapi, Baginda tidak keluar untuk bersolat dengan sahabat.
Pada keesokan paginya, Baginda bersabda: "Sungguh aku telah menyaksikan apa yang kamu semua lakukan. Tidak ada yang menghalangku untuk keluar (solat tarawih) bersama kamu semua selain aku khuatir sekiranya ia difardukan kepada kamu semua."
Tidak keluarnya Rasulullah SAW untuk melaksanakan solat bersama sahabat pada waktu itu adalah kerana Baginda SAW khuatir jika dilakukan terus-menerus ia akan menjadi wajib ke atas umatnya.
Itulah tanda kasih sayang Baginda pada umatnya, walhal ada riwayat dari Aisyah yang mengatakan setelah Baginda pulang mengerjakan tarawih di masjid, Baginda menyambung solatnya sehingga hampir subuh dan tidak kurang daripada 20 rakaat, bahkan lebih dari itu yang dikerjakan oleh Baginda.
Dewasa ini para umatnya mengambil kesempatan atas keprihatinan Baginda sehingga meringankan ibadah tarawih, bahkan timbul perbalahan tentang bilangan rakaat solat terawih.
Solat tarawih ialah solat sunat bagi lelaki dan wanita yang dilakukan setelah solat Isyak sebelum solat witir pada bulan Ramadan. Ia ditunaikan secara berjemaah dengan memberi salam pada setiap dua rakaat.
Dari Abu Hurairah, dia berkata: "Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat mementingkan solat malam bulan Ramadan dengan perintah yang tidak mewajibkan.
Baginda bersabda: "Siapa yang menunaikan solat tarawih dengan penuh keimanan dan pengharapan (akan keredaan Allah), maka diampunkan dosanya yang telah lalu."
Tentang bilangan rakaat solat tarawih, jumlah tersebut (20 rakaat) dijelaskan oleh Saidina Umar al-Khattab melalui perbuatan ketika terakhir kali berkumpul dengan sahabat yang solat di belakang seorang imam.Para sahabat sepakat terhadap yang demikian, begitu juga sepeninggalan beliau, para Khalifah ar Rasyidin tidak ada yang mempertikaikannya.
Seperkara lagi, kita perlu saling mengingatkan bahawa solat tarawih merupakan sunat muakkad. Namun begitu, ramai dalam kalangan masyarakat kita tersalah anggap dan tersalah lakukan.
Solat yang fardu lima waktu tidak dipelihara tetapi solat tarawih yang dikejarkan. Ini berlaku kerana umat Islam tidak menitikberatkan soal awlawiyyat (keutamaan) sehingga mendahulukan yang sunat ke atas yang fardu.Diharapkan Ramadan tahun ini kita berubah menjadi insan kamil dan beribadah sehendaknya serta beribadah dengan ilmu agar tidak lagi menjadikan Ramadan sebagai pentas lakonan semata-mata.
Sumber: Kosmo Online
P/S: Selamat Berpuasa dan selamat menunaikan solat tarawih...
4 Comment for "Hikmah Solat Tarawih"
semoga kita sama2 mendapat keberkatannya ... aminnn
selamat berpuasa dik ;)
insyaAllah zera buat. selamat berpuasa cik nani cecomel! :)
semalam solat terawih sorang2 lagi..;hukhukk
teraweh ni setahun sekali je... jika xda halangan eloklah kita g lakukannya secara berjemaah kan :-)
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen. Komen kalian akan ditapis agar tidak wujud sebarang kekeliruan terhadap entri yang telah disiarkan
Terima kasih tinggal komen kat sini. :)