اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ
Hi peeps! Quick sharing hari ni mengenai minuman isotonik especially untuk mereka yang selalu minum isotonik tu. Sila baca fakta dan mitos di bawah ini!
Fakta 1: Minuman isotonik adalah lebih baik dalam menggalakkan penghidratan berbanding lain-lain minuman.
Perpeluhan merupakan cara badan mengekalkan suhu terasnya pada 37o celcius. Akibatnya, badan kehilangan cecair dan elektrolit iaitu mineral seperti klorida, kalsium, magnesium, natrium dan kalium. Jika dibiarkan boleh mendorong kepada penyahhidratan dan lama-kelamaan menyebabkan kelumpuhan peredaran dan strok haba.
Terdapat dua faktor utama di dalam penyerapan cecair yang boleh memberikan kesan terhadap kepantasan cecair yang kita minum memasuki tubuh:
- Kepantasan cecair dikosongkan dari dalam perut
- Kadar cecair yang diserap melalui dinding usus kecil
Elektrolit-elektrolit, terutamanya natrium dan kalium di dalam minuman akan mengurangkan pengeluaran air kencing, membolehkan cecair mengosong daripada perut dengan cepat, menggalakkan penyerapan daripada usus dan pembendungan cecair. Keosmolarian cecair adalah ukuran jumlah partikel-partikel di dalam rumusan. Di dalam minuman, partikel-partikel ini akan terdiri daripada karbohidrat dan elektrolit.
Dalam plasma darah, partikel-partikel akan mengandungi natrium, protein dan glukos. Minuman dengan keosmolarian 270 hingga 330mOsm/kg (sama dengan keosmolarian darah) yang seimbang dengan cecair badan, dipanggil isotonik. Minuman isotonik menggantikan cecair yang hilang dengan cepat melalui perpeluhan serta membekalkan karbohidrat yang bertambah.
Glukos merupakan sumber tenaga yang menjadi pilihan badan. Oleh itu, adalah wajar untuk mengambil minuman isotonik di mana sumber karbohidrat adalah glukos dengan pekatan enam hingga lapan peratus.
Fakta 2: Teh atau kopi tidak membantu penghidratan
Teh atau kopi mengandungi kafein. Penyahhidratan adalah salah satu hasil yang berkaitan dengan pengambilan kafein secara berlebihan. Kafein menjejaskan buah pinggang dengan bertindak sebagai diuretik yang meningkatkan pengeluaran air kencing sekali gus meningkatkan kehilangan air dari badan.
Teh dan kopi boleh menjadi sumber cecair. Bagaimanapun, ia tidak mengandungi elektrolit yang hilang menerusi peluh dan diperlukan untuk meningkatkan penghidratan semula. Adalah baik untuk mengambil minuman ini apabila status penghidratan kembali normal dalam jumlah yang disarankan.
Penghidratan yang mencukupi adalah penting bagi semua orang dan minuman isotonik menjadi pilihan cecair penghidratan semula bagi para pengguna yang menyukai kesegaran rasanya. Ia juga sesuai untuk mereka yang berhasrat mengelakkan kalori atau mengambil kafein, gula, kalori atau pelbagai bahan yang didapati di dalam lain-lain minuman dalam jumlah yang disarankan.
Fakta 3: Jika air kencing berwarna gelap, itu bermakna anda sedang mengalami penyahhidratan.
Berdasarkan kajian, warna air kencing boleh mendedahkan banyak perkara mengenai kesihatan anda - satu teknik diagnosis yang terlepas pandang. Bagi seseorang yang sihat, warna air kencing adalah dari hampir cerah ke kuning terang disebabkan oleh pigmen yang dikenali sebagai urokrom. Tetapi, apabila urokrom menjadi pekat, air kencing boleh bertukar menjadi kuning kehitaman atau coklat, menandakan sudah sampai masanya untuk anda minum. Ia merupakan petunjuk penghidratan yang boleh digunakan sebagai penanda sama ada anda minum air yang mencukupi, khususnya dalam cuaca yang panas lembap.
Jika anda berpeluh dengan banyak, air kencing akan menjadi lebih pekat kerana air kurang bersedia untuk membawa zat-zat terlarut. Jika pengambilan air ditingkatkan, pekatan akan menjadi cair secara automatik sekali gus menjadikan warna air kencing kembali normal. Tetapi, sekiranya anda mendapati air kencing masih berwarna kekuning-kuningan sekali pun selepas minum air dengan banyaknya, ada kemungkinan anda menghidapi penyakit kuning.
Lazimnya, air kencing pada awal pagi adalah lebih pekat berbanding pada waktu-waktu lain memandangkan kita tidak minum air semasa tidur. Jadi, untuk mengekalkan keseimbangan badan anda, kurang air dikumuhkan dan oleh itu, air kencing menjadi lebih pekat. Sememangnya, minuman isotonik memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan badan kita dalam keadaan yang lembap (terhidrat).
Dan sekiranya anda meningkatkan pengambilan pelbagai sumber cecair, air kencing anda yang pada mulanya pekat boleh menjadi cair manakala warnanya kekal jernih. Untuk mencapai pengambilan cecair yang mencukupi, minumlah pelbagai jenis cecair seperti air, jus, minuman isotonik, minuman soya dan susu dalam jumlah yang dibenarkan.
Fakta 4: Minuman tenaga tidak boleh digunakan untuk penghidratan.
Matlamat penghidratan semula adalah untuk menggantikan cecair dan elektrolit yang telah hilang di dalam badan anda, dalam keseimbangan yang betul. Minuman isotonik dirumus khusus untuk meningkatkan penghidratan serta mengoptimumkan prestasi fizikal. Kajian-kajian menyokong faedah meningkatkan prestasi hasil pengambilan minuman isotonik bagi senaman yang berlangsung sekitar lebih kurang 30 minit.Meminum minuman isotonik selepas bersenam turut menggalakkan penghidratan semula di samping penambahan semula glikogen (karbohidrat yang terdiri daripada rantai-rantai bercabang unit glukosa).
Jumlah karbohidrat yang hadir di dalam minuman tenaga (misalnya 10 hingga 12 peratus) adalah bersamaan dengan minuman ringan dan jauh lebih tinggi berbanding minuman isotonik (biasanya di antara enam hingga lapan peratus seperti mana yang disarankan oleh Garis Panduan Antarabangsa). Minuman tenaga sama ada mempunyai natrium yang terlalu sedikit atau terlalu banyak. Natrium merupakan elektrolit yang penting di dalam minuman isotonik. Ia membantu mengoptimumkan penghidratan dan mengekalkan rasa dahaga anda.
Minuman isotonik dirumuskan dengan campuran karbohidrat dan natrium yang tepat untuk penghidratan dan rasa yang optimum. Minuman tenaga, tidak seperti minuman isotonik boleh jadi mengandungi kafein atau guarana yang diuretik yang mana boleh menambah penghasilan air kencing dan meningkatkan risiko penyahhidratan. Sesetengah minuman tenaga juga mungkin mengandungi ginseng, gingko biloba, asid amino taurina dan inositol iaitu sejenis alkohol gula yang tidak terbukti kesahihannya dalam mengekalkan penghidratan.
Fakta 5: Minuman isotonik sesuai bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif.
Adalah penting bagi individu yang mengamalkan gaya hidup aktif untuk kekal dalam keadaan yang terhidrat. Minuman isotonik yang terdiri daripada gabungan air, gula dan elektrolit adalah sesuai untuk penghidratan tubuh badan. Bagi penghidap diabetes yang melakukan senaman secara intensif (bersungguh-sungguh), minuman isotonik boleh membantu mereka menggantikan semula cecair yang hilang serta menghalang hipoglisemia.
Adalah juga dinasihatkan bagi individu yang menghidap diabetes agar berunding dengan pakar dietetik sukan mengenai pelan pemakanan dan minuman mereka terlebih dahulu sebelum melakukan jadual senaman mereka. Sementara itu, bagi penghidap tekanan darah tinggi, pengambilan natrium anda tidak boleh melebihi 2,400 mg sehari atau lebih rendah daripada jumlah ini.
Secawan minuman isotonik 240 ml mengandungi 115mg natrium klorida. Oleh itu, semua makanan dan minuman yang mengandungi natrium seharusnya diambil kira jika anda menghidapi hipertensi (tekanan darah anda tinggi). Membaca label produk sebelum mengambil sebarang makanan atau minuman merupakan satu langkah bijak.
Sumber: Utusan
My Random ThoughtSaya bile buat intense workout akan berpeluh banyak dan cara paling cepat nak recover energy and nak hilangkan rase letih adalah minum 100 plus. Rase bertenaga terus lepas minum. Ada macam-macam jenis performance drink dalam pasaran sampai confuse nak pilih yang mana. Yang paling mudah dan info saya dapat untuk quick recovery dan kembalikan tenaga after workout adalah dengan minum air glukos. Info yang saya dapat dari sususejat.com. Dah beli tapi belum cuba. Rasenya tu yang paling mudah dan mampu milik. Lol.. Boleh campur dengan protein powder lagi. Minuman tenaga tidak same dengan minuman isotonik dan rajin-rajinkan membaca label bile membeli. 100 plus juga quick recovery untuk saya saat demam atau selsema. Saya dah jarang makan panadol semua tu. Tahun ni rasenye sekali baru telan. Lurviey pernah sakit perut keracunan makanan ulang alik pergi toilet last-last saya google jumpe info minum 100plus. Lepas Lurviey minum 100plus dah getting better dah.
Till then jumpa next entry plak. Dah seminggu off workout. Busy atau malas? Grrrr..
0 Comment for "Fakta Dan Mitos Minuman Isotonik "
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen. Komen kalian akan ditapis agar tidak wujud sebarang kekeliruan terhadap entri yang telah disiarkan
Terima kasih tinggal komen kat sini. :)