Assalamualaikum...
[ Entri panjang. Kalau malas baca sila gunakan teknik Skim & Scan ok !]
35 Tahun Tragedi Chernobyl | Selepas tengok Movie Chernobyl 1986, teringin aku nak tahu kisah yang berlaku ketika itu. Aku pun tak lahir lagi masa ni.
Bencana Chernobyl, dianggap malapetaka nuklear terburuk dalam lipatan sejarah Ukraine dan seluruh dunia, yang mana angka kematiannya kekal misteri dan ia terus menjejaskan kesihatan penduduk tempatan.
Lebih 200 tan uranium masih kekal dalam reaktor meletup itu, meningkatkan kebimbangan lebih banyak kebocoran radioaktif boleh berlaku jika struktur konkrit lama yang menutupi reaktor usang itu runtuh.
Pada jam 1.23 pagi 26 April 1986, reaktor nombor empat loji jana kuasa nuklear Chernobyl, terletak kira-kira 100 kilometer di utara Kiev, Ukraine, meletup ketika satu ujian keselamatan.
Selama 10 hari berikutnya, bahan api nuklear masih terbakar, mengeluarkan kepulan awan radiasi beracun yang mencemarkan sehingga tiga perempat negara di Eropah dengan Ukraine serta negara jirannya di Belarus dan Russia paling terjejas teruk. Asap dipenuhi bahan radioaktif itu terbang sejauh 2,334 kilometer sehingga ke Britain serta Norway.
Ketika bencana itu didedahkan, pihak berkuasa Soviet hanya mengunci mulut, bagi mengelak orang ramai bercakap mengenai tragedi itu yang mungkin mencemarkan imej kuasa besar era Perang Dingin.
Mereka memindahkan 48,000 penduduk di bandar Pripyat, terletak tiga kilometer dari loji itu, hanya pada tengah hari keesokannya. Amaran pertama dikeluarkan 28 April tahun sama oleh Sweden yang mengesan peningkatan tidak dapat dijelaskan paras radiasinya.
Baru bertugas pada tahun kedua, Setiausaha Agung Parti Komunis, Jeneral Mikhail Gorbachev -- pemenang Anugerah Nobel 1990 kerana menerajui pembaharuan demokratik dan ekonomi -- tidak secara terbuka mengakui bencana itu sehingga 14 Mei tahun sama.
Dengan skala apa yang berlaku kini didedahkan, pihak berkuasa pada tahun itu memindahkan 116,000 orang daripada zon pengecualian 30 kilometer yang mengelilingi loji yang kini sudah tidak aktif lagi. Bangunan seperti sekolah, pusat membeli belah, hospital dan taman tema terbengkalai serta dipenuhi pokok renek dan lumut radioaktif.
Tahun berikutnya menyaksikan tambahan 230,000 lagi penduduk dipindahkan, namun kira-kira lima juta rakyat Ukraine, Belarus dan Russia masih tinggal di kawasan di mana paras radiasi kekal tinggi.
Fakta menakutkan dikeluarkan agensi alam sekitar negara itu menyebut, kawasan berhampiran pusat bencana itu tidak boleh didiami sehingga sekurang-kurangnya 10,000 tahun akan datang.
Sementara satu kertas kerja saintifik Russia bertajuk Chernobyl membuat kesimpulan bahawa, sehingga 985,000 kematian susulan direkodkan akibat barah pramatang berlaku di seluruh dunia antara tahun 1986 hingga 2004 akibat pencemaran radioaktif Chernobyl.
Kira-kira 600,000 orang yang dikenali sebagai "penyelesai masalah" terdiri daripada kebanyakannya anggota tentera, polis, bomba dan kakitangan
kerajaan, dihantar oleh Moscow dengan sedikit atau tanpa alat
perlindungan bagi membantu memadam kebakaran dipenuhi toksik itu.
Mereka juga bertanggungjawab mendirikan kepungan konkrit di atas tinggalan reaktor yang rosak bagi menghalang kebocoran lanjut radiasi serta membersihkan kawasan sekitar.
Namun apa yang luar biasa, Chernobyl masih terus mengeluarkan tenaga elektrik sehingga Disember 2000, apabila Ukraine diberi tekanan oleh Barat supaya menutup reaktor aktif terakhir secara kekal.
"Tenaga nuklear adalah asas kepada sistem penjanaan elektrik di negara ini," kata jurucakap monopoli bekalan tenaga negara Energoatom, Ilona Zayec. Menurut Energoatom, tahun lalu sebanyak 15 rektor di Ukraine mengeluarkan kira-kira 82,000 megawatt sejam atau 56.5 peratus daripada penggunaan tenaga di negara itu.
"Insiden Chernobyl menyebabkan negara tertentu berhasrat menghentikan pengeluaran tenaga nuklear, sementara negara lain memilih untuk mengkaji semula keperluan keselamatan yang ada," kata Tetiana Verbytska dari Pusat Saintifik dan Teknikal Nuklear serta Keselamatan Radiasi Ukraine.
Sejak akhir-akhir ini walaupun dengan statusnya yang belum bebas sepenuhnya daripada pencemaran radiasi, ia bagaimanapun tidak menghalang beberapa syarikat pelancongan menganjurkan pakej lawatan ke Chernobyl. Syarikat pelancongan SoloEast Travel berpangkalan di Kiev, menganggarkan kira-kira 100,000 pelancong mengunjungi lokasi bencana itu setiap tahun. Pelawat dikenakan bayaran antara AS$100 (RM387) hingga AS$400 (RM1,548) bergantung kepada masa lawatan atau jumlah pelancong dalam kumpulan itu.
"Hujung tahun lalu kami berjaya menganjurkan kira-kira 290 pakej lawatan menerusi 1,980 pelawat yang datang ke sini. "Kebanyakan mereka yang pertama kali mengunjunginya kembali semula dan memanjangkan tempoh lawatan," kata Ketua Pengarah SoloEast Travel, Sergei Ivanchuk.
Untuk memastikan keselamatan serta melindungi reaktor itu daripada bocor serta menutup struktur konkrit yang sudah retak dan runtuh, kerja membina pelindung keluli seberat 25,000 tan bermula pada tahun 2010.
Bersaiz sebuah padang bola dengan ketinggian 110 meter dari tanah, struktur itu agak tinggi berbanding Big Ben di London dan berat tiga kali ganda berbanding Menara Eiffel di Paris.
Pembiayaan sangkar gergasi bernilai 2.1 bilion euro (RM9.21 bilion) dari lebih 40 negara dan Bank Pembinaan dan Pembangunan Eropah, serta tambahan 165 juta euro (RM723.44 juta) dijangka dari kumpulan negara G7 dan Suruhanjaya Eropah. Tidak dapat dipastikan siapa yang akan membiayai operasi pembinaan kubah baharu apabila ia dipasang.
Dengan kebanyakan tugas pembinaan kini selesai, struktur itu dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi dan jika segala-galanya berjalan lancar, berupaya menyahcemar bahan berbahaya di dalamnya. ereka namun tertakluk kepada pemeriksaan ketat, dilarang menyentuh apa-apa saja, minum atau makan serta duduk di atas tanah di setiap kawasan yang dilawati, dan paling penting mempunyai pas yang sah.
Sumber: Berita Harian
P/S: Ada juga manusia yang sanggup nak berkunjung ke lokasi sedangkan kawasan tersebut masih lagi tercemar dengan radioaktif.
6 Comment for "35 Tahun Tragedi Chernobyl "
Ada terbaca juga Fakta menakutkan dikeluarkan agensi alam sekitar negara kawasan berhampiran pusat bencana tu x boleh didiami sehingga sekurang-kurangnya 10,000 tahun akan datang.
Bila cerita betul di filemkan, terbyg situasi sebenar ketika tu kan...
Rasa ngilu sedih, takut... ee semua perasaan ada..
h
mcm mana la keadaan mereka masa tu yg terkena radiasi.. terigt kisah bom atom hiroshima...
nauzubilah, minta dijauhkan bencana buruk lagi kat negara kita
Pernah tengok ada sorang YTuber tu datang kat sini.Memang seram giler tengok.Walaupun dah 35 tahun berlalu,kesan radioaktif tu tetap ada sampai hari ni.
Kadang-kadang terfikir, apa yang dipaparkan ini base on kajian atau ramalan? seperti bakal terjadi di dunia nyata.
Ishh memang idak la nak p melawat kawasan mcm tu. Buat ada lagi kesan2 nuklear tu naya jaa.
Tragedi yang telah mengorbankan banyak nyawa. Sedih dan tak dapat bayangkan keadaan tu. Macam tak sesuai pulak dijadikan tempat untuk berkunjung untuk lawatan dalam industri pelancongan.
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen. Komen kalian akan ditapis agar tidak wujud sebarang kekeliruan terhadap entri yang telah disiarkan
Terima kasih tinggal komen kat sini. :)